MEROTAI: Pusat Aktiviti Fizikal atau Wellness Hub Tawau dijangka akan dibina sebagai mekanisme dalam mengurangkan beban Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) di daerah Tawau.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pusat ini akan memberi tumpuan kepada Penyakit Tidak Berjangkit memandangkan tahun lalu Tawau mencatat 8,502 kes.
Katanya, ini meliputti pesakit Diabetes Melitus atau Kencing Manis, Tekanan Darah Tinggi 6,192 pesakit, Berat Badan Berlebihan 1,042 serta Obesiti 278 pesakit.
“Klinik Kesihatan Merotai Besar dicadangan untuk dinaik taraf sebagai klinik kesihatan yang lengkap dengan perkhidmatan X-Ray dan pergigian.
“Bagi penjagaan warga emas, berdasarkan data terdapat seramai 46,600 warga emas dalam kawasan operasi Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau,” katanya di sini hari ini.
Dr. Dzulkefly berkata, pihaknya juga menyasarkan saringan kesihatan bagi warga emas adalah 5 peratus sekali gus daerah Tawau mencapai sasaran yang ditetapkan pada tahun lalu.
“Ini menunjukkan Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil tanggungjawab dalam menjaga kesihatan warga emas di daerah Tawau termasuklah masyarakat kawasan Merotai.
“Kita melihat terdapat pembinaan baharu bagi bangunan pesakit luar Klinik Kesihatan Merotai Besar yang akan dijangkakan siap pada November 2025, tahun ini,” jelas Dr. Dzulkefly.
Menurutnya, ini menunjukkan kementeriannya memberikan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik kepada masyarkat Merotai dan sekitarnya.
“Hari ini juga, Kita melancarkan Mobile Pharmacy melalui kerjasama Jalinan Kasih Demi Kesihatan Anak Merotai hasil kerjasama pihak Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau bersama Persatuan Jalinan Kasih Harapan Rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata, ini sebagai inisiatif mengurangkan beban pesakit di Merotai yang tidak perlu bergerak mengambil ubat tetapi akan dihantar ke rumah setiap pesakit.
“Ini selaras dengan konsep penghantaran ubat pesakit (ubat preskripsi susulan) yang telah siap disediakan oleh pihak farmasi Klinik Kesihatan Merotai Besar.
“Kemudian ia diserahkan kepada ‘rider’ (Mobile Pharmacy) untuk dihantar ke rumah pesakit tanpa caj perkhidmatan sebagai satu inisiatif yang baik selari dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS),” katanya.