Warisan Tegas Bertanding Semua 73 Kerusi DUN Sabah

KOTA KINABALU – Parti Warisan Sabah (Warisan) menegaskan pendiriannya untuk bertanding di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal  berkata, keputusan itu bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya telah dua kali dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti.

Beliau sekali gus menolak desas-desus yang mendakwa Warisan sedang mempertimbangkan untuk bergabung dengan gabungan politik lain.

“Pendirian Warisan jelas – kita tidak bergabung dengan mana-mana parti. Kita bergabung dengan rakyat. Itu tekad kita,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, rakyat Sabah kini berdepan pelbagai cabaran asas kehidupan yang perlu diberi perhatian segera, bukan sekadar permainan politik.

Katanya, isu bekalan air, risiko banjir, musim panas serta ancaman kebakaran perlu diatasi dengan perancangan dan tindakan yang berkesan.

“Meskipun sungai kering dan paip Jabatan Air tidak mengalir, kita masih ada laut. Persoalannya, bagaimana kita boleh manfaatkan sumber itu untuk persediaan menghadapi bencana,” tegasnya.

Beliau menegaskan, Warisan mahu memastikan rakyat Sabah dibela sebaik mungkin, dan sebab itu parti bertekad bertanding di semua 73 kerusi.

“Matlamat kita adalah pembelaan rakyat, dan Warisan akan terus konsisten memperjuangkan keperluan asas rakyat Sabah,” tambahnya.