KUNAK – Seorang wanita maut selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kunak–Semporna pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.46 pagi melalui talian MERS 999, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak bergegas ke lokasi kejadian sejauh 3 kilometer.
Menurut Komander Operasi, PBK II Ibrahim Ismail, kemalangan itu melibatkan dua lori tiga tan jenis Hino dan sebuah kereta Proton Wira yang dinaiki empat orang mangsa.
“Seorang mangsa wanita tersepit di bahagian pemandu, manakala tiga lagi mangsa bukan warganegara telah dikeluarkan oleh orang awam dan dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya.
Pasukan bomba menggunakan peralatan khas ‘Rescue Tools’ bagi mengeluarkan mangsa tersepit sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi yang turut dibantu KKM dan PDRM itu tamat sepenuhnya pada jam 10 pagi.
