TAWAU: Seorang wanita warga China dijatuhi hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Tawau selepas mengaku bersalah menghantar mesej ugutan bom palsu kepada sebuah syarikat penerbangan minggu lalu.
Tertuduh, Liu Jinqi, 28, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin pada prosiding hari ini.
Mengikut pertuduhan, Liu didapati menghantar mesej berbunyi “human service emergency bomb dangerous” menerusi aplikasi layan diri “Ask Bo” AirAsia pada jam 11.55 pagi, 20 September lalu.
Mesej berkenaan kemudiannya dibaca seorang kakitangan syarikat penerbangan itu di Tawau sebelum laporan polis dibuat pada 22 September.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Peguam bela, Chen Wen Jye merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya tidak berniat menimbulkan ketakutan, sebaliknya hanya mahu menarik perhatian selepas gagal menukar tempat duduk walaupun telah cuba melalui pelbagai saluran rasmi.
Bagaimanapun, pendakwaan yang dikendalikan Asisten Superintenden Jeffrey Kadisun menegaskan kesalahan itu serius kerana berpotensi menimbulkan panik awam, justeru hukuman setimpal wajar dijatuhkan sebagai pengajaran.
Mahkamah kemudian memerintahkan Liu dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda, namun dia berjaya menjelaskan bayaran tersebut.
Polis sebelum ini menahan Liu bersama suaminya di sebuah hotel di Semporna pada hari kejadian dan hasil siasatan mendapati tertuduh mengaku menghantar mesej tersebut bagi mempercepat urusan pertukaran tempat duduk penerbangan dari Tawau ke Kuala Lumpur sebelum transit ke Beijing.
