UMS rai 440 pelajar tamat program asasi pelbagai bidang

KOTA KINABALU: Seramai 440 pelajar daripada Program Asasi Sains, Asasi Teknologi Maklumat dan Asasi Agrisains dirai penuh penghormatan dalam Majlis Tamat Asasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2024/2025 yang berlangsung di Dewan Canselor, UMS, baru-baru ini.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, berkata pencapaian itu mencerminkan komitmen dan kecemerlangan berterusan UMS.

Kasim Mansor

Katanya, ini khususnya dalam melahirkan generasi pelapis yang berpengetahuan, berdaya saing dan mempunyai sahsiah unggul untuk menghadapi cabaran global.

“Hari ini bukan noktah, tetapi permulaan baharu untuk anda melangkah lebih jauh dalam dunia akademik.

“Kejayaan ini lahir daripada semangat tidak berputus asa, doa ibu bapa, bimbingan pensyarah serta sokongan seluruh warga universiti,” katanya.

UMS rai 440 pelajar tamat program asasi pelbagai bidang.

Katanya lagi, daripada jumlah keseluruhan itu, 294 pelajar menamatkan Asasi Sains, 100 pelajar Asasi Teknologi Maklumat dan 46 pelajar Asasi Agrisains — program baharu yang diperkenalkan bagi memperkukuh bidang pertanian, perhutanan dan keselamatan makanan negara.

Beliau turut menekankan kepentingan pelajar terus menjadikan ilmu sebagai teras, memelihara integriti serta membina jaringan kerjasama kerana nilai tersebut menjadi aset kejayaan masa hadapan dalam kerjaya dan kehidupan.

Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian Anugerah Khas Naib Canselor, Anugerah Akademik dan Anugerah Kokurikulum kepada pelajar cemerlang yang menyerlah dalam akademik, kepimpinan dan pembangunan sahsiah sepanjang pengajian.