KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi mencipta sejarah apabila 15 orang saintisnya berjaya tersenarai dalam kelompok dua peratus Saintis Terbaik Dunia 2025.
Ini merupakan satu pengiktirafan berprestij antarabangsa yang diterbitkan oleh Stanford University bersama Elsevier.
Daripada jumlah itu, 14 saintis diiktiraf dalam kategori Single Year Citation Impact bagi tahun 2024, manakala enam orang pula tersenarai dalam Career-Long Citation Impact. Beberapa nama turut muncul dalam kedua-dua kategori sekaligus.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, pencapaian ini membuktikan kemampuan universiti dari Borneo berdiri setanding dengan institusi penyelidikan terbaik dunia.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja kebanggaan, malah menjadi pemangkin kepada pengukuhan kerjasama tempatan, serantau dan antarabangsa dalam bidang penyelidikan dan inovasi,” katanya.
Antara saintis yang diiktiraf ialah Prof. Dr. Hanudin Amin, Dr. Teo Siow Hwa, Prof. Dr. Jason Teo Tze Wi dan Prof. Dr. Zainul Amiruddin Zakaria.
Pencapaian ini memperkukuh reputasi UMS sebagai pusat ilmu ‘Brain of Borneo’ yang terus mengangkat penyelidikan dan inovasi dari rantau ini ke persada dunia.