KOTA KINABALU: Tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) mahu merayu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri disifatkan sebagai langkah yang menafikan kedudukan Sabah sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia.
Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Nasrah, berkata keputusan mahkamah yang memihak kepada Sabah Law Society (SLS) baru-baru ini sejajar dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan prinsip pembahagian hasil yang telah dipersetujui ketika Sabah bersetuju menyertai Persekutuan Malaysia.
“Sekiranya AGC meneruskan rayuan, ia memberi gambaran seolah-olah Sabah tidak dianggap rakan kongsi setaraf dalam Malaysia. Ini sangat mengecewakan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, tindakan itu juga boleh menjejaskan keyakinan rakyat Sabah terhadap komitmen kerajaan Persekutuan dalam menunaikan hak negeri yang termaktub dalam MA63.
Aksyah turut menzahirkan penghargaan terhadap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, yang secara terbuka menegaskan pendirian supaya AGC tidak meneruskan rayuan tersebut.
“Saya menyokong penuh keberanian Datuk Ewon Benedick yang tampil mempertahankan kepentingan Sabah. Tindakan beliau wajar dijadikan contoh,” katanya.
Mengulas lanjut, Aksyah menegaskan bahawa Sabah berhak menerima semula hasil tertunggak selama hampir 48 tahun memandangkan negeri itu banyak menyumbang kepada ekonomi negara melalui hasil bumi dan sumber semula jadi.
“Sudah tiba masanya kerajaan Persekutuan menunaikan tanggungjawab kewangan itu. Pembayaran semula 40 peratus hasil negeri bukan sekadar tuntutan kewangan, tetapi simbol keadilan dan penghormatan terhadap Sabah,” tegasnya.
Beliau menambah, langkah itu akan mempercepat pembangunan negeri agar setanding dengan Sarawak dan Semenanjung serta memperkukuh perpaduan antara rakan kongsi dalam Malaysia.
“Reaksi positif rakyat Sabah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi ini perlu dijadikan isyarat jelas kepada kerajaan Persekutuan,” katanya.
