KOTA KINABALU – Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengesahkan telah menerima surat tunjuk sebab daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung kenyataannya mengenai prosiding inkues kematian remaja, Zara Qairina Mahathir.
Menurut Mohd Shafie, surat berkenaan diserahkan kepadanya semalam dan beliau diberikan tempoh tujuh hari untuk memberikan jawapan.
“Saya telah menerima surat tunjuk sebab daripada AGC berkaitan kenyataan saya sebelum ini. Saya akan beri jawapan dalam masa yang ditetapkan,” katanya dalam sidang media Parti Warisan di sini, hari ini.
Terdahulu, pada 22 September lalu, Mahkamah Koroner memaklumkan bahawa notis tunjuk sebab akan dikeluarkan terhadap Mohd Shafie susulan kenyataannya yang dipercayai menyentuh prosiding inkues yang sedang berlangsung.
Koroner, Amir Shah Amir Hassan membenarkan permohonan peguam, Datuk Ram Singh yang mewakili salah satu pihak dalam prosiding tersebut. Permohonan itu turut disokong oleh semua pihak terlibat.
Sebelum ini, satu video tular menunjukkan Mohd Shafie mendakwa bahawa Allahyarham Zara Qairina telah dibunuh, sekali gus menimbulkan persoalan berhubung kesahihan kenyataan tersebut memandangkan prosiding inkues masih berjalan.
Inkues itu dijalankan bagi menentukan punca kematian remaja berkenaan yang dilaporkan meninggal dunia pada tahun lalu.
