Sabah hargai sumbangan RM980,000 daripada PETRONAS bantu mangsa banjir – Hajiji

KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah menghargai sumbangan berjumlah RM980,000 yang disalurkan oleh PETRONAS dan Yayasan PETRONAS bagi membantu mangsa banjir di negeri ini setakat tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, sumbangan tersebut bukan sahaja meringankan beban mangsa bencana, malah mencerminkan komitmen tinggi sektor swasta dalam membantu kerajaan menjaga kebajikan rakyat.

“Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan ini. Ia membuktikan keprihatinan PETRONAS dalam memastikan kesejahteraan rakyat Sabah, khususnya ketika berdepan bencana banjir,” katanya dalam satu majlis penyerahan bantuan bencana di Menara Kinabalu, pada Rabu.

Sumbangan disampaikan oleh Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Puan Siti Ayu Abdul Wahab kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Siti Ayu berkata, bantuan tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan PETRONAS dalam menyokong kesiapsiagaan menghadapi musim tengkujuh yang akan datang.

“Kami sentiasa merancang secara proaktif setiap tahun bersama agensi kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memastikan bantuan sampai tepat pada masanya apabila diperlukan,” ujarnya.

Antara bantuan yang disalurkan termasuk tilam lipat, kanopi, kipas, bekalan air minuman, makanan paket kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta kad sumbangan bernilai RM10,000 untuk pembelian bahan api bagi operasi bantuan.

Tambahnya, jumlah keseluruhan sumbangan yang telah disalurkan di Sabah tahun ini mencecah RM980,000, merangkumi bantuan awal tahun serta bantuan semasa.

Hajiji turut menggesa lebih banyak syarikat korporat dan NGO tampil membantu dalam usaha kemanusiaan tersebut.

“Sokongan sektor swasta amat penting dalam melengkapkan usaha kerajaan. Kerjasama seperti ini dapat memastikan bantuan sampai dengan cepat dan berkesan kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.