Sabah Catat Jumlah Masjid Tertinggi Di Malaysia – Hajiji

TUARAN – Sabah mencatat jumlah masjid tertinggi di Malaysia dengan 1,127 buah masjid serta 1,222 surau di seluruh negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pencapaian itu bukan untuk bermegah, sebaliknya mencerminkan komitmen kerajaan negeri bersama masyarakat Islam dalam memperkukuh syiar Islam.

Menurutnya, masjid dan surau perlu terus diimarahkan dengan pelbagai aktiviti ilmu, dakwah, pendidikan dan perpaduan agar bukan hanya tersohor pada namanya tetapi juga pada pencapaiannya.

“Masjid dan surau bukan sekadar tempat menunaikan solat, tetapi pusat penyatuan masyarakat, pengukuhan ukhuwah, penyebaran ilmu serta pembangunan sosial dan ekonomi,” katanya ketika merasmikan Surau Abu Hassan Ar-Raudhah di Tuaran.

Beliau berkata, dengan siapnya surau tersebut, jumlah rumah ibadah Islam di daerah Tuaran meningkat kepada 69 buah, merangkumi 31 masjid dan 38 surau.

Hajiji turut menzahirkan penghargaan kepada komuniti Bugis yang bergotong-royong serta menyumbang dana bagi menjayakan pembinaan surau itu, sekali gus menunjukkan semangat kebersamaan masyarakat.

Katanya, rumah ibadah tersebut berpotensi menjadi pusat dakwah, nadi perpaduan setempat dan tarikan pelancongan agama, seiring dengan kepesatan pembangunan daerah bersempadan dengan Kota Kinabalu.

“Dengan terbinanya surau ini, kita bukan sahaja menambah infrastruktur keagamaan, tetapi juga memperkukuh identiti Islam di Negeri Di Bawah Bayu,” katanya.