BEAUFORT: Helah menyimpan ratusan kotak produk sejuk beku pelbagai jenama tanpa lesen terbongkar apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menyerbu sebuah rumah di Jalan Tokong Cina, di sini.
Dalam operasi jam 2 petang bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar itu, pihak berkuasa menemui 232 kotak sejuk beku bernilai lebih RM132,000.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Nazri Ibrahim berkata, semua barangan berkenaan dirampas untuk tindakan lanjut mengikut Enakmen Haiwan 2015.
“PPM mengalu-alukan maklumat awam bagi mengekang kegiatan penyeludupan. Kami kekal komited memastikan keselamatan serta kesejahteraan negara,” katanya.
