KOTA KINABALU: Bekas Naib Ketua Cabang Tiga Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sepanggar Remy Martin Gunsalam hari ini secara rasmi mengumumkan keluar daripada parti itu sekali gus menyertai Parti Warisan (Warisan).
Pengumuman itu dibuat dalam satu sidang media khas di Kota Kinabalu yang turut disaksikan Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking bersama barisan kepimpinan parti.

Menurut Remy, keputusannya meninggalkan PKR bukanlah satu perkara mudah, namun beliau percaya penyertaannya ke dalam Warisan adalah langkah terbaik demi memperjuangkan hak dan masa depan rakyat Sabah.
“Saya mengambil masa yang panjang untuk menilai keadaan politik semasa.
“Akhirnya saya yakin Warisan adalah platform yang lebih berkesan untuk membela suara rakyat Sabah, terutama dalam isu pembangunan luar bandar, peluang pekerjaan dan hak negeri,” katanya di sini hari ini
Remy berkata, Sabah memerlukan satu wadah politik yang benar-benar menjiwai aspirasi rakyat tempatan dan Warisan dilihat konsisten memperjuangkan perkara itu sejak penubuhannya.
“Ini bukan soal kedudukan atau jawatan, tetapi tentang memastikan suara rakyat Sabah terus kedengaran di peringkat negeri mahupun pusat,” jelasnya.
Sementara itu, Darell dalam ucapannya berkata penyertaan Remy Martin adalah satu perkembangan positif yang membuktikan semakin ramai pemimpin muda melihat Warisan sebagai parti masa depan Sabah.
“Kehadiran beliau menguatkan lagi jentera Warisan, khususnya di peringkat akar umbi.
“Saya percaya pengalaman, komitmen dan hubungan baik beliau dengan masyarakat akan membantu memperkukuh perjuangan parti,” katanya.
Darell turut menegaskan Warisan sentiasa terbuka menerima mana-mana individu yang ikhlas memperjuangkan kepentingan rakyat dan negeri, tanpa mengira latar belakang politik mereka sebelum ini.
Remy sebelum ini aktif dalam PKR peringkat negeri dan terlibat dalam pelbagai gerakan masyarakat di kawasan Sepanggar.
Penyertaannya ke dalam Warisan dilihat sebagai satu lagi perkembangan baharu dalam landskap politik Sabah menjelang pilihan raya akan datang.