TAWAU: Projek menaik taraf Lapangan Terbang Tawau bernilai RM120.9 juta dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) sebagai usaha memperkukuh infrastruktur pengangkutan udara di Sabah.
Majlis pecah tanah disempurnakan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook yang menyifatkan projek itu sebagai pemangkin penting pembangunan sosioekonomi negeri.
Menurutnya, kapasiti penumpang dijangka meningkat kepada 2.5 juta setahun, berbanding 1.96 juta penumpang direkodkan pada 2024.
“Naik taraf melibatkan pembesaran terminal utama, ruang daftar masuk dan imigresen lebih selesa, tambahan jambatan udara, penambahbaikan apron pesawat serta sistem maklumat penerbangan dan penyaman udara.
“Kemudahan lain termasuk kaunter daftar masuk tambahan, ruang komersial, kawasan tuntutan bagasi, tandas dan surau,” katanya di sini hari ini.
Menurut Loke, projek ini bukan sahaja menjadikan Lapangan Terbang Tawau lebih moden dan selesa, malah mampu merancakkan sektor pelancongan, perdagangan serta hubungan udara Sabah dengan Kalimantan Timur, Indonesia.
Beliau menegaskan ia selaras dengan agenda Malaysia MADANI yang menitikberatkan penyediaan infrastruktur inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat.