PRN Sabah: Warisan sedia tadbir Sabah tanpa bergantung parti luar

KOTA KINABALU – Jika rakyat memberikan mandat penuh pada 29 November ini, Sabah akan ditadbir sepenuhnya oleh anak watan tanpa bergantung kepada mana-mana parti luar — tegas Ketua Penerangan Wira Warisan Pusat, Mohammad Norizhuan Awang.

Menurut beliau, sejak awal penubuhannya, Parti Warisan kekal konsisten memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah sebagai keutamaan dalam setiap dasar dan keputusan parti.

Katanya, keputusan Warisan untuk bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri menunjukkan keyakinan parti tersebut dalam membentuk kerajaan tunggal yang stabil dan berpaksikan rakyat — sekali gus menamatkan amalan politik yang hanya menguntungkan kelompok tertentu.

Beliau menegaskan bahawa apabila Sabah dipimpin sepenuhnya oleh anak jati negeri ini, tumpuan penuh dapat diberikan kepada pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan, pendidikan, kesihatan serta kebajikan rakyat tanpa perlu menunggu restu pihak luar.

Walaupun begitu, katanya, Warisan tetap menghormati hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan serta pernah menjadi antara parti terawal menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas PRU15 sebagai tanda semangat setiakawan.

“Namun dalam pentadbiran negeri, keutamaan mutlak adalah Sabah dan rakyatnya. Pemerintahan mesti digerakkan mengikut jiwa, semangat dan keperluan rakyat Sabah sendiri tanpa mengira latar belakang, suku kaum atau agama,” katanya.

Beliau berharap rakyat Sabah memberikan peluang kepada Warisan membuktikan keupayaan sebenar parti itu dalam membangunkan negeri ini.

“Saya yakin dengan sokongan padu rakyat di seluruh Sabah, Warisan mampu membentuk kerajaan yang stabil, bersih dan benar-benar berpihak kepada rakyat,” katanya.