KOTA KINABALU: Pendirian Parti WARISAN (WARISAN) bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 (PRN17) nampaknya masih belum berubah walaupun Perikatan National (PN) berniat untuk bekerjasama dengan parti tempatan itu.
Ketua Penerangan WARISAN, Datuk Mohd Azis Jamman menolak mentah-mentah kenyataan PN tentang potensi bekerjasama dengan apa yang dianggap gabungan itu sebagai tidak mustahil melihat keadaan politik semasa.
Sehubungan itu, katanya, tiada rundingan atau perjanjian dengan PN, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau Gabungan politik lain berhubung kerjasama pilihan raya itu.
“WARISAN akan bertanding secara solo dan sejak awal lagi, kami menyatakan pendirian ini dengan jelas. Di bawah kepemimpinan Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, WARISAN akan bertanding dalam PRN17 secara bersendirian, menggunakan logo sendiri.
“Keputusan ini telah pun disampaikan secara konsisten dan kekal tidak berubah.
“Sebarang cadangan atau spekulasi mengenai pakatan pintu belakang adalah tidak berasas dan tidak mencerminkan pendirian rasmi WARISAN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu hari ini, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dilaporkan berkata, gabungan politik itu tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan WARISAN bagi menghadapi PRN Sabah akan datang.
Katanya, kerjasama antara kedua-dua pihak bukan mustahil dalam landskap politik semasa memandangkan PN tidak bercadang untuk bergerak secara solo.
Pada minggu lalu dalam sesi bersama media di kediaman Mohd Shafie di sini, beliau berkata, langkah WARISAN untuk bertanding secara solo bukanlah keberanian kosong, sebaliknya maklum balas terhadap budaya politik Sabah menyaksikan sogokan berleluasa demi kepentingan peribadi sehingga menjejaskan kestabilan.
Beliau cukup tahu mengenainya setelah melalui pengalaman dalam pakatan yang rapuh dan pengkhianatan oleh kumpulan politik termasuk ahlinya sendiri.
Shafie juga sedar kebanyakan parti besar kini membentuk gabungan kerana menjangkakan tiada pihak yang akan menang secara sendiri dalam pilihan raya, namun, beliau tetap bertegas WARISAN perlu berdiri sendiri.
“Kita kena jelas dalam fikiran kita. Biarlah kita jadi pilihan dan satu-satunya pilihan untuk rakyat Sabah.
“Hanya apabila tiba masanya, selepas pilihan raya, suasana akan berbeza. Tetapi, saya tidak boleh beri ruang untuk orang buat spekulasi, penghakiman…Sebab kita di sini bukan kerana tamak. Kita kena selesaikan keperluan rakyat sekarang,” katanya.
WARISAN awal bulan ini mengesahkan bertanding keseluruhan 73 kerusi DUN pada PRN kali ini yang dijangka berlangsung tahun ini.
