KOTA KINABALU: Rundingan Barisan Nasional (BN) Sabah dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menemui jalan buntu apabila BN hanya ditawarkan lapan kerusi sedangkan BN mempunyai 14 kerusi (penyandang) hasil kemenangan pilihan raya negeri (PRN) yang lalu.
Ketika mendedahkan perkara itu, Bendahari BN Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata asas rundingan agihan kerusi itu adalah jelas iaitu kerusi yang dimenangi pada PRN lalu kekal kepada parti asal (incumbency rule).
“Jika ada pertindihan dan pertukaran, ia mesti diselesaikan melalui persetujuan (swap rule). Prinsip ini adil dan logik.
“Difahamkan seorang pemimpin utama parti komponen GRS mengatakan bahawa lapan kerusi itu pun sudah terlalu banyak untuk BN.
“Kenyataan seperti ini amat menyakitkan hati kerana ia seolah-olah tidak menghormati BN serta menafikan sumbangan dan kekuatan BN di Sabah,” katanya dalam catatan terbaharu di Facebook.
Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata BN Sabah sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti politik tetapi tegas tidak bersetuju dengan cadangan yang jelas merugikan dan tidak adil.
Beliau berkata pendirian BN Sabah itu konsisten dengan kenyataan pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa BN tidak akan berkompromi jika asas rundingan tidak dihormati.
Dengan Pakatan Harapan, Salleh berkata rundingan berjalan lancar kerana kedua-dua pihak menghormati asas ini.
“Di mana terdapat pertindihan, swap digunakan. Hasilnya hampir selesai, menunjukkan kesediaan BN–PH bekerjasama dalam semangat Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Semalam, Zahid dipetik sebagai berkata bahawa BN tidak akan bekerjasama dengan GRS dalam PRN Sabah akan datang.
Bagaimanapun, Zahid menegaskan bahawa kerjasama BN–PH kekal diteruskan.