Penyeldikan melestari khazanah budaya dan peradaban rumpun Bajau Sama Sabah

Oleh Dr. Jakaria Dasan
Sekumpulan penyelidik dari Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah terdiri daripada Dr. Jakaria Dasan, Dr. Faerozh Madli dan Dr. Mat Salleh Wahab mengadakan kunjungan hormat kepada Pengurus Besar Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah, Mohd Kamaludin Mohd Daud.

Ini bertujuan mendapatkan beberapa maklumat berkaitan corak motif pada hiasan Bajau Sama yang sering digunakan pada pakaian atau objek berkaitan seperti pelamin.

Penulis bergambar bersama Mohd Kamaludin Mohd Daud

Kunjungan itu juga merupakan sebahagian daripada inisiatif awal memulakan hubungan strategik dengan Pusat ini, selaras dengan penubuhan Kursi Penyelidikan Bajau Sama di UMS.

Menurut Dr. Jakaria, yang juga merupakan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMS, kunjungan tersebut juga sebagai langkah awal merintis satu hubungan strategik dengan Pusat Kebudayaan.

Ini merupakan antara tunjang penting dalam melestarikan usaha memelihara adat, budaya, resam, serta sejarah peradaban berkaitan rumpun Bajau Sama Sabah.

Carian dari jurnal di atas talian mendapati bahawa kajian berkaitan rumpun Bajau Sama adalah sangat terhad.

Pada masa yang sama masih terlalu banyak yang boleh dikaji dengan lebih mendalam mengenai komuniti kedua terbesar di Sabah ini.

Pengurus Besar Mohd Kamaludin Mohd Daud, berkongsi dengan para penyelidik mengenai motif Bajau Sama.

Ini adalah kerana rumpun Bajau Sama itu sendiri mempunyai kepelbagaian yang membentuk keunikan tersendiri, yang terpapar pada keterbilangan dan keperwiraan masyarakat ini dalam konteks sejarah lalu, sebagaimana dituturkan dalam cerita lisan rakyat turun-temurun.

Susunan motif secara terancang, rawak atau tersusun dipanggil corak. Corak mungkin diklasifikasikan sebagai terancang atau tidak terancang.

Corak yang tidak dirancang atau bukan motif juga boleh membangunkan corak secara bebas. Motif ialah bentuk atau rupa asas dalam komposisi atau reka bentuk. Ia mempunyai unsur geometri, organik dan flora dan fauna.

Corak yang diklasifikasikan sebagai tradisional mempunyai nama tradisional yang khusus dan mempunyai lakaran motifnya sendiri.

Gambar motif beralun yang diperkenalkan dalam kajian penyelidik

Corak boleh diperolehi dalam dua cara yakni, secara sengaja dan tidak sengaja.

Motif diletakkan dalam susunan ditetapkan dan secara tetap untuk mencipta corak terancang.

Motif ini menghasilkan corak dengan pelbagai susunan, termasuk penciptaan reka bentuk dengan garisan grid.

Corak yang tidak dirancang timbul secara spontan dan tanpa niat. Ia boleh dibuat dengan pelbagai teknik, termasuk menggolek, menapis, meniup, dan menyembur.

Corak bagi motif Bajau Sama juga dibentuk berpandukan kaedah yang dinyatakan di mana corak pada motif tradisional rumpun Bajau Sama.

Gambar motif Bajau Sama berbentuk V yang dikaji oleh kumpulan penyelidik akan kegunaannya.

Umpamanya, jika dikaji lebih mendalam, mengandungi maksud tertentu tentang perihal menangani cabaran hidup yang ditempuh oleh masyarakat ini pada suatu ketika dahulu.

Pasti ada rencah membentuk ketajaman akal, kelincahan tindakan, serta ketinggian akhlak dan pekerti yang terselindung di sebalik corak motif yang dihasilkan.

Justeru, jika kurang usaha mendokumentasikan maksud corak motif-motif ini, ia mungkin akan hilang ditelan zaman.

Dalam penyelidikan awal yang dijalankan, corak-corak motif ini merupakan paling popular dalam kalangan masyarakat.

Ini yang kerap digunakan sebagai penghias kepada baju tradisi yang dipakai dan objek berkaitan yang sering diperagakan pada hari-hari istimewa khususnya yang melibatkan acara kebudayaan, majlis perkahwinan dan majlis keramaian etnik ini.

Dapatan ini berdasarkan kepada kekerapan corak motif ini digunakan dalam pelbagai majlis utama yang diadakan melibatkan etnik-etnik samada di peringkat negeri mahupun di peringkat kebangsaan.

Kajian awal sukar menjejaki penulisan ilmiah yang dihasilkan berhubung dengan maksud corak ini selain daripada penulisan bukan akademik atau naratif penceritaan dari generasi ke generasi yang tidak begitu kuat fakta bertulisnya.

Pastinya corak-corak motif yang terbentuk mempunyai mesej tertentu yang sering digunakan untuk menghias pakaian atau objek dalam sesebuah majlis melibatkan komuniti Bajau Sama.

Justeru, penyelidikan yang dijalankan adalah bertujuan untuk sekurang-kurangnya menyediakan satu bentuk rujukan tafsiran mesej kepada setiap corak yang digunakan.

Di samping itu, penulisan yang dihasilkan ini adalah untuk mengukur sejauhmanakah masyarakat khususnya dalam kalangan Bajau Sama itu sendiri memahami tafsiran mesej yang terkandung pada setiap corak yang dihasilkan.

Usaha mendokumentasi hasil-hasil penyelidikan melibatkan peradaban sesebuah masyarakat itu perlu dilaksanakan dengan kepakaran ahli akademik.

Maklumat dari sumber primer yang diperolehi menerusi temubual dan wacana keilmuan dari mereka yang masih hidup dan mempunyai pengetahuan mengenainya juga perlu digiatkan.

Dalam hubungan ini, Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah merupakan pemudahcara yang tepat bagi menjayakan aktiviti-aktiviti penyelidikan yang berkaitan.

Mohd Kamaludin Mohd Daud

Mohd Kamaludin, yang ditemubual, turut berkongsi mengenai minat beliau terhadap pengumpulan cerita-cerita daripada orang-orang tua sejak beliau masih muda lagi.

Beliau turut berkongsi beberapa fakta sejarah dan asal-usul berkaitan motif yang dirujuk oleh para penyelidik.

Tambah beliau lagi, masih terdapat kalangan orang-orang lama yang masih hidup di mana bahan-bahan berkaitan warisan rumpun Bajau Sama ini boleh dikembangkan lagi penyelidikannya.

Untuk itu, amatlah sesuai pada masanya untuk kedua pihak, yakni UMS dan Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama, bekerjasama mendokumentasikan penemuan-penemuan berguna untuk manfaat masyarakat hari ini dan mendatang.

Baru-baru ini UMS telah mengumumkan pelantikanProfesor Datuk Dr. Kasim Mansor, Naib Canselor UMS, sebagai Pemegang Kursi Bajau Sama UMS.

Penyelidik UMS mengabadikan gambar kenangan sempena kunjungan tersebut bersama Mohd Kamaludin.

Kursi Penyelidikan ini diwujudkan bertujuan untuk memperbanyakkan lagi penyelidikan dan aktiviti pelestarian bagi memelihara, memulihara dan membangun kebudayaan serta kesenian Rumpun Bajau Sama.

Hal ini adalah bertepatan dengan pendekatan menjadikan UMS sebagai penggerak kepada masyarakat berinovatif, di mana Kursi Penyelidikan Bajau Sama merupakan salah satu daripada wahana tersebut.