KOTA KINABALU – Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah menegaskan pembangkang sengaja menuding jari kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam isu jalan raya, bekalan air dan elektrik untuk meraih sokongan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurutnya, ketiga-tiga isu berkenaan sebenarnya terletak di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, namun dimanipulasi pembangkang untuk mencetuskan persepsi negatif terhadap kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Bila pembangkang menghentam kerajaan negeri dalam isu ini, sebenarnya mereka juga menyalahkan Kerajaan Persekutuan kerana kebanyakan masalah bukan di bawah bidang kuasa negeri,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Jelas beliau, sekiranya pembangkang benar-benar ikhlas membela rakyat, mereka sepatutnya menggunakan kedudukan mereka di Parlimen untuk mendesak penyelesaian daripada Kerajaan Pusat, bukan menyalahkan kerajaan negeri semata-mata.
Masiung turut menjelaskan kebanyakan jalan rosak di Sabah berstatus jalan Persekutuan, manakala bekalan elektrik dikendalikan oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), yang dimiliki Tenaga Nasional Berhad (TNB), dengan kerajaan negeri hanya memegang 18 peratus saham.
Berhubung isu air, beliau berkata masalah itu berpunca daripada tindakan kerajaan terdahulu menamatkan kontrak syarikat konsesi, menyebabkan kerajaan negeri terpaksa membayar pampasan sebanyak RM300 juta termasuk ganti rugi.
Beliau menegaskan kerajaan negeri di bawah pimpinan Hajiji tidak berlepas tangan, sebaliknya sedang berusaha menyelesaikan isu infrastruktur secara berperingkat dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, termasuk menerusi pertemuan bersama Perdana Menteri baru-baru ini.
“Pengalaman saya melihat tiga ketua menteri sebelum ini membuktikan pentadbiran Hajiji lebih baik. Rizab negeri kini mencecah RM8.08 bilion dan pendapatan tahunan negeri melebihi RM7 bilion, sesuatu yang tidak pernah dicapai sebelum ini,” katanya.
