Memperkasa keusahawanan pelajar, memberdaya komuniti usahawan

UNTUK mempelajari ilmu keusahawanan yang praktikal, maka para pelajar yang telah pun diajar sedikit sebanyak teori keusahawanan di universiti wajar digalakkan mendekati usahawan untuk suatu durasi tertentu.

Selain membuat pemerhatian dan cuba memahami urus niaga yang berlaku, pelajar ini juga berpeluang untuk memerah idea menghasilkan kaedah atau inovasi sesuai untuk membantu kelancaran perniagaan yang diusahakan oleh usahawan di mana pun mereka ditempatkan.

Kaedah ini pastinya mampu memperkasa ilmu keusahawanan pelajar, setelah bergraduasi kelak, mereka telah pun ada pengalaman berharga untuk mereka aplikasikan ketika menceburkan diri dalam dunia keusahawanan.

Mungkin juga, dalam masa mereka sedang menyelesaikan pengajian, ada ruang untuk mereka memulakan langkah membina kerjaya dalam bidang keusahawanan. Hal ini bukan sesuatu yang mustahil dan payah untuk dilakukan.

Apatah lagi dalam era digitalisasi yang membolehkan sesiapa sahaja berniaga di mana saja dia berada. Apa yang penting, para pelajar berdisiplin dalam menelaah pelajaran dan bijak membahagikan masa ketika berjinak-jinak dengan dunia perniagaan.

Hal ini disokong oleh tiga dapatan yang merumuskan punca pelajar cenderung menceburi bidang keusahawanan ketika sedang menuntut di universiti. Pertama, memulakan perniagaan mematangkan fikiran dan memantul kebijaksanaan dalam pelajaran.

Kedua, memulakan perniagaan membina kompetensi diri dan memutik pengalaman berguna. Dan ketiga, memulakan perniagaan ketika sedang menuntut, mempunyai risiko yang rendah dan memberi ruang untuk mencuba pelbagai idea sehinggalah akhirnya mencipta satu idea atau perniagaan yang berdaya tahan dan mempunyai prospek yang tinggi untuk maju.

Malah terdapat satu lagi sebab yang paling mengujakan iaitu, di universiti, pelajar mempunyai akses kepada sumber percuma yang akan memandu mereka untuk berjaya, yakni para ilmuwan yakni pensyarah yang pakar dalam pelbagai bidang.

Hubungan  rapat dengan pensyarah akan memudahkan mereka mendapat tip berguna dan pendekatan efektif dalam perniagaan yang berniat untuk diceburi atau pun telah mula beroperasi secara sambilan yakni kecil-kecilan.

Uniknya pada program ini ialah bilamana kolaborasi strategik dengan Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Sabah (G3PNS) berjaya diwujudkan. G3PNS diberi peranan untuk menyediakan 10 usahawan terpilih untuk disantuni oleh pelajar kelak.

Program ini mendapat tajaan dana Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) berjumlah RM35,000 yang sebahagiannya akan diagihkan kepada 10 kumpulan pelajar untuk menampung kos-kos pengurusan dan perjalanan ke tempat usahawan.

Manakala, sebahagiannya digunakan untuk pelbagai kos lain termasuk hadiah-hadiah bagi yang berjaya kelak. Program ini dikelolakan oleh Program Keusahawanan FPEP bersempena dengan penganjuran Simposium Keusahawanan FPEP 2024.

Sosial Entrepreneurship Pitch Challenge PUNB-UMS 2024 akan ditaja sepenuhnya oleh PUNB. Pelaksanaannya melibatkan kerjasama pensyarah program Keusahawanan dan diketuai oleh pelajar FPEP dari Kelab Keusahawanan (ENTREC) dan Persatuan Mahasiswa FPEP (PMPEP).

Keunikan program pada tahun ini adalah dengan penyertaan langsung Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Negeri Sabah (G3PNS) sebagai feeder kepada 10 kumpulan usahawan terpilih untuk program ini.

Seramai empat hingga lima orang pelajar akan membentuk pasukan dan berentap bagi mempamerkan secara praktis kebolehan dan kreativiti keusahawanan mereka dalam mengendali situasi atau isu yang dihadapi oleh komuniti usahawan tempatan.

Penghasilan kaedah dan inovasi kumpulan pelajar ini akan dipantau oleh para pensyarah Keusahawanan bagi mempastikan idea yang diketengahkan benar-benar boleh membantu para usahawan dalam pelbagai sudut seperti pemasaran, pengurusan kewangan, inventori dan lain-lain.

Program ini dimantapkan lagi dengan beberapa aktiviti berupa bengkel rancangan perniagaan, (ii) diskusi bersama mentor/penasihat projek, dan (iii) pembentangan projek (pitching).

Tiga objektif disasarkan program. Pertama, memberi peluang bagi pelajar mempraktiskan nilai dan kemahiran keusahawan bersama komuniti usahawan tempatan. Kedua, memberi ruang kepada pelajar untuk mempromosikan produk usahawan tempatan yang dihasilkan.

Ketiga, memperkenalkan pihak industri kepada pelajar seawal mungkin bagi memberi pendedahan mengenai dunia keusahawanan sebenar melalui perkongsian ilmu daripada pegawai PUNB dan usahawan jemputan.

Sepuluh kumpulan pelajar yang mempunyai solusi dan inovasi yang menarik kepada permasalahan yang dihadapi oleh setiap 10 usahawan terlibat akan dipilih . Mereka ini kelak akan mengadakan beberapa siri lawatan ke premis usahawan dan melakukan pemerhatian operasi dan urus niaga bagi suatu tempoh masa secara berjadual.

Sesi sumbang saran antara pelajar dan usahawan turut berlaku sepanjang lawatan yang diadakan. Para pelajar ini kemudiannya akan membuat cadangan dengan penasihatan oleh mentor yang merupakan pensyarah program keusahawanan bagi memastikan cadangan yang diusulkan praktikal dan boleh laksana.

Pada masa yang sama kolaborasi langsung dengan usahawan-usahawan mikro penjaja dan peniaga yang merupakan ahli-ahli G3PNS akan bermula pada 27 Jun 2024 sehingga 31 Oktober 2024 dan dilaksanakan dalam tiga peringkat.

Peringkat pertama: Pemadanan Pelajar dan Usahawan serta perbincangan tajuk projek keusahawanan. Peringkat kedua:  Kerja lapangan dan bengkel penyediaan projek keusahawanan, dan Peringkat Ketiga: Pembentangan projek keusahawanan (pitching).

Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, Naib Canselor UMS, menyanjung usaha yang diinisiatifkan oleh para pensyarah program Keusahawanan ini yang melibatkan pelajar dengan komuniti usahawan sebagai menepati apa yang dihasratkan oleh beliau pada slogan “leading towards innovative societies’ yang dicetus pada Majlis Amanat Naib Canselor awal tahun ini.

Semoga dengan kesediaa.n usahawan terlibat, ia akan memberdaya komuniti usahawan di serata negeri Sabah.

Jakartia Dasan

BIODATA PENULIS:

Dr. Jakaria Dasan merupakan Pensyarah Kanan Program Keusahawanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Universiti Malaysia Sabah. Beliau turut memegang jawatan sebagai Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMS.