Lelaki Ditemui Meninggal Dalam Kereta Berkunci

KOTA MARUDU: Seorang lelaki berusia 56 tahun ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta berkunci di Pekan Goshen, di sini petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Debli Mamoi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis pada jam 5.01 petang memohon bantuan membuka pintu kereta jenis sedan tersebut.

Menurutnya, sepasukan 10 anggota bersama satu jentera FRT dan sebuah kenderaan utiliti dikerahkan ke lokasi sebelum tiba lima minit kemudian.

“Pasukan bomba segera menjalankan operasi membuka pintu kenderaan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki berada di dalam kenderaan berkenaan namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada jam 5.40 petang selepas memastikan keadaan di lokasi selamat,” katanya.