Kerajaan MADANI Gandakan Pemberian Khas Sabah Kepada RM600 Juta – Tertinggi Dalam Sejarah

KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI terus menunjukkan komitmen terhadap kemakmuran Sabah apabila meningkatkan Pemberian Khas Persekutuan kepada negeri itu sebanyak dua kali ganda kepada RM600 juta bagi tahun 2025, menjadikannya kadar tertinggi dalam sejarah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata bayaran penuh RM600 juta telah disalurkan pada 10 September lalu, hasil persetujuan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah selepas kajian semula dilaksanakan mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Kadar pemberian khas yang dinaikkan kepada RM600 juta ini adalah bersifat interim sementara kedua-dua kerajaan sedang merumuskan kaedah baharu bagi menentukan perkiraan pemberian khas pada masa depan,” katanya pada sesi penerangan mengenai pendirian Kerajaan MADANI berhubung Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata, kajian semula kadar pemberian khas itu dilaksanakan secara berkala dan telah diwartakan pada 2022, 2023 dan 2025, mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan menampung kos perkhidmatan di Sabah.

Sebelum ini, kadar pemberian khas kekal RM26.7 juta sejak 1969 sebelum meningkat kepada RM53.4 juta pada 2019, RM125.6 juta pada 2022 dan RM300 juta pada 2023.

“Langkah ini membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memastikan Sabah terus menerima haknya secara adil dan seimbang, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.