Kerajaan bantu rakyat kerana mandat, bukan tiru sesiapa – Fairuz

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Parti Gabungan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan menegaskan usaha Kerajaan Negeri dalam memberi bantuan kepada rakyat adalah kerana mandat yang diberikan, bukannya meniru dasar atau idea pihak lain.

“Sejak bila pula kerajaan curi idea orang bila membantu rakyat? Kalau tidak ada modal untuk menghentam, lebih baik diam daripada buat dosa,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan itu, bantuan yang disalurkan kerajaan bukan ‘gula-gula’ politik, sebaliknya usaha berterusan sejak awal mengambil alih tampuk pemerintahan.

“Jangan sembarangan menuduh semua usaha murni kerajaan sebagai umpan politik. Musim sekarang rakyat sedang susah, jadi fokus kita adalah membantu, bukan mengejar publisiti,” tegasnya.

Beliau berkata, hala tuju kerajaan di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor jelas memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat, pembangunan negeri serta kemajuan pendidikan anak-anak Sabah.

Katanya, pelbagai skim telah diperkenalkan termasuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah, Tabung Pendidikan Negeri, serta bantuan lain seperti SUBFLY, BUDI, BAIK dan BISTARI bagi menyokong modal insan dari peringkat sekolah hingga universiti.

Dalam masa sama, Fairuz turut menyeru pengguna media sosial agar berhemah dan tidak menjadikan platform itu medan untuk menyebarkan fitnah atau mencari musuh.

“Kita ada adab dan nilai murni yang perlu dijaga. Media sosial harus digunakan secara bijak untuk tambah ilmu, hiburan atau kerja, bukan untuk menimbulkan kebencian,” ujarnya.