TUARAN: Ketua Penyelaras Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).Pantai Dalit Jaesman Gipin menzahirkan rasa simpati terhadap nasib ribuan rakyat, terutama pengguna jalan raya yang terkesan dengan kesesakan jalan raya khususnya antara Berungis dan pekan Tuaran.
Menurutnya semasa waktu puncak atau hari cuti, ramai pengguna jalan raya yang balik ke kampung-kampung sekitar daerah Tuaran dari Kota Kinabalu, mengeluh dan kecewa dengan permasalahan jalan raya sesak tersebut.
“Ibu segala masalah kesesakan ini ialah kegagalan melebarkan jalan raya Berungis-Pekan Tuaran.
“Anehnya kawasan ini diwakili ADUN yang sama (sebelum dibahagi kepada dua kawasan DUN) lebih 30 tahun dan pernah berkhidmat dan memegang jawatan penting dalam kerajan.
“Tidak harian lah ramai yang kecewa dengan keadaan ini….gara-gara kegagalan ini, rakyat terpaksa tanggung kesannya.
Secara lojik, jalan penting seumpama ini seharusnya sudah lama dilebarkan ,” katanya dalam catatan terbaharu di media sosial.
Jaesman berkata jika ada kesungguhan dan keprihatinan untuk memperjuangkan kepentingan rakyat, tidak perlu menunggu sehingga 40 tahun untuk melebarkan jalan Berungis-Pekan Tuaran.
“Masalah kewangan tidak harus dijadikan alasan untuk melengah-lengahkan pelaksanaan projek pembesaran jalan Berungis-Pekan Tuaran yang tidak pun sampai 10 Km, apatah lagi diwar-warkan kedudukan kewangan negeri kukuh dan rizab juga semakin bertambah,” katanya.
Beliau berkata rata-rata rakyat kini mahukan perubahan demi masa depan yang lebih baik.
Oleh itu, Jaesman mengajak rakyat, terutama di DUN Pantai Dalit dan Sulaman supaya bangkit membuat keputusan yang tepat dalam PRN17 demi kebaikan bersama.
“Cukup-cukuplah…beri peluang kepada pemimpin baharu untuk menceriakan keadaan di DUN Pantai Dalit dan DUN Sulaman,” katanya.
