KALABAKAN – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan kerajaan negeri komited menjadikan Kalabakan sebagai daerah progresif, makmur dan berdaya saing berasaskan kedudukan strategik, kekayaan sumber alam serta kepelbagaian budaya masyarakat.
Beliau berkata, sektor pertanian, perikanan, perladangan dan pelancongan akan terus diperkukuh kerana menjadi tonggak utama pembangunan ekonomi rakyat di daerah itu.

“Tanah subur di Kalabakan mampu menghasilkan tanaman bernilai tinggi seperti kelapa sawit, koko, getah dan buah-buahan tropika yang bukan sahaja memenuhi pasaran tempatan malah berpotensi besar untuk eksport,” katanya.
Menurutnya, daerah itu turut memiliki tarikan pelancongan tersendiri dengan keindahan alam semula jadi, hutan tropika dan budaya tempatan yang mampu menarik pelancong dari dalam serta luar negara.
“Pembangunan produk pelancongan seperti homestay, eko-pelancongan dan pelancongan komuniti akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan,” jelasnya dalam ucapan yang dibacakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib pada satu majlis di sini, semalam.

Hajiji berkata, kerajaan negeri juga sedang melaksanakan pelbagai projek infrastruktur termasuk menaik taraf jalan raya, meningkatkan bekalan air, memperluas liputan elektrik serta memastikan sekolah dilengkapi kemudahan moden melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan.
Katanya, inisiatif itu seiring dengan usaha kerajaan memastikan keseimbangan wilayah, pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat, selain memanfaatkan peluang daripada pemindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara di Kalimantan yang bersempadan dengan Kalabakan.
“Kerajaan negeri telah merancang strategi termasuk cadangan pembinaan jalan raya menghubungkan Simanggaris (Kalimantan) dan Serudong (Kalabakan) yang bakal memberi impak besar kepada sosioekonomi rakyat. PRN akan datang amat penting untuk memastikan kesinambungan pembangunan ini,” ujarnya.

Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan geran tanah pewartaan kampung, geran lot Pantas, Rumah Mesra SMJ serta Anugerah Pelajar Cemerlang sebagai usaha meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat dan mengiktiraf kecemerlangan pendidikan di daerah itu.