PUTATAN – UMNO Bahagian Putatan memberi jaminan bahawa isu air yang berlarutan sekian lama akan menjadi antara keutamaan utama manifesto Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 nanti.
Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffrey Nor Mohamed, berkata masalah air bukan sekadar isu asas, tetapi sudah menjadi beban harian yang menjejaskan kehidupan rakyat serta pertumbuhan ekonomi tempatan.
“Rakyat sudah lama bersabar dengan isu air. Ini bukan masalah baharu dan sudah tiba masanya ia diselesaikan dengan tuntas, bukan lagi sekadar janji sementara,” kkatanya di sini semalam.
Menurut Jeffrey, UMNO Putatan sedang merangka pelan penyelesaian menyeluruh bagi menambah baik sistem bekalan air ttermasukmendapatkan pandangan juruperunding yang berpengalaman, membaiki paip lama dan membina saluran baharu untuk menampung keperluan penduduk yang semakin bertambah.
Beliau berkata, pelan itu juga akan disokong dengan kerjasama strategik antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan bagi memastikan setiap projek dapat disiapkan mengikut jadual serta memberi manfaat terus kepada rakyat.
“UMNO Putatan komited memastikan setiap janji yang dibuat mempunyai pelan tindakan realistik dan boleh dilaksanakan, selaras dengan komitmen BN memperjuangkan kebajikan rakyat.
“Kita mahu rakyat tahu, isu air ini akan diberi keutamaan segera sekiranya mandat diberikan semula kepada BN,” tegasnya.
Katanya lagi, penyelesaian kepada isu air merupakan sebahagian daripada pendekatan BN Putatan untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap keupayaan parti mentadbir dengan stabil dan berkesan.
“Rakyat menilai berdasarkan rekod dan kemampuan sebenar. Kita bukan mahu berjanji kosong, tetapi mahu tampil dengan penyelesaian yang jelas dan berkesan.
“UMNO Putatan akan terus turun padang mendengar keluhan rakyat dan memastikan keperluan asas mereka diselesaikan terlebih dahulu,” katanya.
