GRS janji lantik wakil rakyat Cina sebagai Timbalan Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjanji akan melantik seorang wakil rakyat daripada kaum Cina sebagai Timbalan Ketua Menteri sekiranya diberi mandat untuk kembali membentuk kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pelantikan itu akan dibuat jika lebih ramai pemimpin Cina berjaya dipilih sebagai wakil rakyat pada pilihan raya akan datang.

“Jika kerajaan ini sekali lagi diberi mandat, dan jika lebih ramai pemimpin Cina berjaya dipilih, saya akan melantik salah seorang daripada mereka sebagai Timbalan Ketua Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama masyarakat Cina, sekolah mubaligh, sekolah swasta Cina serta badan agama bukan Islam di Dewan Hakka, di sini.

Hajiji turut menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf peranan besar masyarakat Cina dalam pembangunan Sabah.

“Tanpa sumbangan anda, ekonomi negeri tidak akan berkembang. Masyarakat Cina menyumbang dalam pelbagai bidang, termasuk sektor swasta dan perkhidmatan awam,” katanya.

Menurut beliau, ramai pegawai keturunan Cina memegang jawatan tinggi dalam kementerian, jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dalam usaha memperkukuh tadbir urus negeri, Hajiji memaklumkan bahawa beberapa penasihat telah dilantik, khususnya dalam bidang minyak dan gas, kewangan, pelaburan serta undang-undang – dengan kebanyakan mereka terdiri daripada individu berketurunan Cina.

Antara lantikan terbaharu ialah bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri David Wong Dak Wah yang mengetuai Majlis Penasihat Pembaharuan Undang-Undang Sabah (SLRAC).

“Majlis ini akan meneliti undang-undang lapuk, mencadangkan pembaharuan yang relevan dan memastikan pentadbiran kita selaras dengan keperluan semasa,” katanya.

Tambah beliau, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk menjadikan Sabah lebih progresif dan disegani.