PRN Sabah: Gagasan Rakyat Banggi lebih mantap tanpa Abdul Mijul

KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Banggi, Datuk Mohammad Mohamarin menegaskan tindakan Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Abdul Mijul Unaini meninggalkan parti untuk menyertai Parti Warisan semalam adalah keputusan berasaskan kepentingan peribadi.

Beliau berkata, langkah itu dipercayai kerana Abdul Mijul dijanjikan peluang menjadi calon Warisan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Banggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, atau sekurang-kurangnya menganggap ia laluan untuk dicalonkan.

“Kalau perjuangan beliau benar-benar untuk rakyat, tidak mungkin mudah beralih arah hanya kerana mengintai peluang jadi calon. Ini jelas menunjukkan matlamatnya lebih kepada cita-cita politik peribadi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohammad berkata, Abdul Mijul pernah menjadi wakil rakyat Banggi dari 2008 hingga 2018, namun sokongan rakyat semakin merosot selepas beliau tewas pada pilihan raya lalu. “Kalau masih diyakini, tentu rakyat tidak akan menolak beliau pada PRU lepas,” tegasnya.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Gagasan Rakyat tidak bergantung kepada seorang individu semata-mata, sebaliknya jentera parti di Banggi kini lebih mantap dan bersedia menghadapi PRN ke-17.

“Pemergian Abdul Mijul tidak menjejaskan kekuatan kami. Malah, ahli dan penyokong kini lebih bersemangat memastikan kerusi Banggi kekal bersama Gagasan Rakyat,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan ahli dan penyokong parti agar tidak terpengaruh dengan gerakan politik individu yang hanya mengejar jawatan. Katanya, rakyat mahukan pemimpin yang konsisten dan tidak mudah berpaling arah.

“Gagasan Rakyat kekal fokus membangunkan infrastruktur asas, menyediakan peluang ekonomi serta menjaga kebajikan rakyat. Inilah perbezaan kami dengan mereka yang sibuk mengejar jawatan,” katanya