Beluran menjadi pengeluar Projek Pembangunan Industri dan Sumber Kerang Sabah – Hajiji

BELURAN: Beluran bakal menjadi pengeluar utama Projek Pembangunan Industri serta Sumber Kerang di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kawasan ini diusahakan 650 Ketua Isi Rumah (KIR) membabitkan seluas 1,300 hektar di sekitar Jeti Muara, Beluran.

Katanya, ternakan kerang darah diusahakan secara berkelompok dan sistematik mampu menghasilkan 3,240 metrik tan setahun.

“Ini secara tidak langsung membabitkan nilai pasaran RM34.4 juta dengan potensi pulangan pelaburan sehingga tujuh kali ganda.

“Pembangunan industri kerang darah ini berasaskan komuniti, menjana pendapatan, membuka peluang pekerjaan dan pada masa sama melindungi habitat marin. Beluran bakal menjadi penanda aras akuakultur mampan di rantau ini,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri menghargai kerjasama strategik Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), Jabatan Perikanan Malaysia (DOFM) dan Jabatan Perikanan Negeri Sabah (DOFS) dalam merealisasikan projek berkenaan.