Anak Sabah Sudah Bersedia, Hak 40 Peratus Wajar Dituntaskan

KOTA KINABALU – Kesedaran rakyat Sabah terhadap hak mutlak 40 peratus hasil bersih yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan kini semakin meningkat.

Naib Ketua Bahagian Warisan Sepanggar, Norazmi Hj. Alimat berkata, selama ini ramai anak negeri seolah-olah ‘dibutakan’ oleh pelbagai naratif sehingga tidak memahami hak sebenar yang sepatutnya dinikmati rakyat Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Semenjak tahun 1974 hingga 2021, anak Sabah telah terlepas peluang menikmati pembangunan setara dengan rakan mereka di Semenanjung.

“Kita jauh ketinggalan dalam aspek fizikal, sahsiah dan emosi, sedangkan hak ini sudah termaktub dengan jelas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Menurut beliau, pendedahan bekas Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman pada tahun 2022 mengenai dokumen seolah-olah ‘warta rahsia’ yang menenggelamkan kepentingan Perkara 112D menjadi titik penting kebangkitan kesedaran rakyat Sabah.

“Perjuangan Parti Warisan Sabah dalam menuntut hak-hak di bawah MA63 membuka ruang kepada semua lapisan anak negeri untuk memahami hak mutlak 40 peratus ini.

“Kita juga berterima kasih kepada Sabah Law Society (SLS) yang berani memulakan tindakan undang-undang terhadap kerajaan Persekutuan,” katanya.

Norazmi berkata, keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober lalu yang memihak kepada SLS membuktikan kerajaan Persekutuan gagal melaksanakan tanggungjawab perlembagaan terhadap Sabah.

“Mahkamah telah mengesahkan bahawa Sabah sememangnya layak menikmati hak mutlak tersebut.

“Ini menunjukkan isu 40 peratus bukan sekadar aspirasi, tetapi hak berperlembagaan rakyat Sabah,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa tiga warta kerajaan iaitu P.U (A) 119/2022, P.U (A) 364/2023 dan P.U (A) 271/2025 yang disokong kerajaan negeri GRS kini terbukti tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan.

“Kerajaan Persekutuan sepatutnya menghormati keputusan mahkamah dan tidak lagi melambatkan pelaksanaan hak ini.

“Anak Sabah sudah lama bersedia untuk menikmati hasil pembangunan yang sepatutnya menjadi milik mereka,” katanya.

Norazmi turut menyeru agar kerajaan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut demi menghormati prinsip keluhuran Perlembagaan.

“Sekiranya rayuan tetap dibuat, seluruh anak Sabah akan berdiri teguh bersama SLS untuk mempertahankan hak mutlak ini. Jangan berhenti percaya — Don’t Stop Believing!” katanya.