KOTA KINABALU: Bendahari Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Dr Sallleh Said Keruak mendedahkan terdapat cubaan untuk menghapuskan BN dari Sabah oleh pemimpin yang menurutnya pernah “membesar” dalam BN.
Ironinya, beliau berkata pemimpin tersebut sendiri pernah membesar dan naik kerana BN, tetapi hari ini mereka mahu memadamkan nama BN.
“Kenapa mereka buat begitu? Kerana BN masih menjadi saingan utama. Dengan melemahkan BN, mereka berharap parti mereka akan naik.
“Tetapi hakikatnya, BN sudah lama bertapak di Sabah. BN sudah melalui banyak gelombang politik dan tetap bertahan,” katanya dalam catatan terbaharu di Facebook.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata parti baharu belum tentu lebih baik pencapaiannya.
“Banyak parti tempatan akhirnya hilang pengaruh kerana perjuangan mereka tidak berterusan. Bila pemimpin tiada, parti pun mula tenggelam.
“BN pula tidak mudah hilang. Bahagian, cawangan dan penyokong tegar ada di seluruh negeri. Inilah kekuatan sebenar BN yang tidak boleh digugat,” katanya.
Salleh yang juga Adun Usukan berkata pilihan raya negeri (PRN) 2020 membuktikan perkara itu.
Katanya BN masih berjaya memenangi 14 kerusi DUN walaupun selepas berlakunya gelombang politik 2018.
“Rakyat juga masih merindui BN. BN sebagai parti tidak bersalah. Jika ada kelemahan, ia datang daripada segelintir pemimpin.
“BN sendiri sudah berbudi dan terbukti memberi khidmat terbaik kepada rakyat.
“Menyertai BN tidak bermakna kita hilang jati diri Sabah. Kita tetap orang Sabah, kad pengenalan kita ada huruf “H”, dan perjuangan kita tetap untuk rakyat Sabah No. 1,” katanya.
Sebab itu, Salleh berkata terdapat keperluan BN libatkan anak-anak muda supaya mereka faham dan meneruskan perjuangan, sekali gus memastikan DNA BN sentiasa hidup.
Salleh berkata cubaan menghapuskan BN hanyalah angan-angan segelintir orang.
“BN tidak akan hilang dari bumi Sabah. Penyokong setia akan tetap bersama, dan BN akan terus menjadi sebahagian daripada sejarah serta masa depan politik negeri ini,” katanya.