KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua kerja pemulihan infrastruktur serta penyaluran bantuan kepada mangsa banjir dan tanah runtuh di Sabah dipercepatkan tanpa mengikut proses biasa.
Beliau berkata, langkah segera perlu diambil termasuk membina semula Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya yang rosak akibat tanah runtuh baru-baru ini.
“Banjir dan kerosakan ini bukan perkara biasa. Kalau ikut proses biasa, siapkan jalan dan kemudahan akan ambil masa terlalu lama. Jadi, kita mahu percepatkan,” katanya selepas meninjau lokasi tanah runtuh di IPG Kampus Gaya di sini semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, setakat ini kerajaan telah meluluskan peruntukan segera RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membantu mangsa banjir, manakala kos keseluruhan pemulihan prasarana masih menunggu laporan lanjut.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah serta semua agensi yang terlibat dalam usaha memindahkan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan memulihkan bekalan elektrik di kawasan terjejas.
Mengenai IPG Kampus Gaya, Anwar berkata, kerajaan menunggu laporan kejuruteraan sebelum memutuskan sama ada kampus dikekalkan atau dibina di lokasi baharu.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, seramai 2,256 mangsa daripada 710 keluarga masih ditempatkan di PPS. Bencana tanah runtuh di Sabah setakat ini turut meragut 13 nyawa, manakala seorang lagi maut akibat banjir.