KOTA KINABALU: Sabah terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju dalam industri sawit mampan negara apabila lebih 30,000 pekebun kecil melibatkan 191,000 hektar ladang berjaya memperoleh pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) setakat April 2025.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata pencapaian 97.62 peratus ini antara yang tertinggi di Malaysia dan bukti kerjasama erat antara kerajaan, industri dan komuniti pekebun kecil.
Beliau berkata, Sabah telah mencapai 97 peratus kawasan tanaman disijilkan, manakala Sarawak pula melepasi 92 peratus.
“Namun usaha perlu diteruskan untuk mencapai 100 peratus pensijilan, terutamanya melibatkan pekebun kecil persendirian.
“Bagi mempercepatkan usaha itu, Sabah meneruskan inisiatif JASPO (Pendekatan Bidang Kuasa untuk Minyak Sawit Mampan), yang menyasarkan 100 peratus pengeluaran minyak sawit mampan menjelang 2030,” katanya di sini hari ini.
Teks ucapan dibacakan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe.
Hajiji berkata, pendekatan ini menyelaraskan Sabah dengan piawaian antarabangsa seperti RSPO dan EUDR.
“Selain itu memastikan semua pihak, termasuk pekebun kecil yang menyumbang lebih 27 peratus pengeluaran Sabah, tidak tercicir,” katanya.
Hajiji berkata, dengan 1.48 juta hektar tanaman sawit dan pengeluaran tahunan melebihi 4.2 juta tan metrik minyak sawit mentah (CPO), Sabah kekal sebagai penyumbang utama kepada kedudukan Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia.
Hajiji menekankan, kejayaan ini hasil puluhan tahun usaha gigih seluruh rantaian bekalan – dari pekebun kecil hingga ke pembuat dasar.
“Lebih dari sekadar hasil dan hektar, ini adalah kisah perubahan kehidupan. Industri sawit menyara lebih 300,000 rakyat dan membawa kemajuan luar bandar – jalan, sekolah, klinik dan rangkaian digital,” katanya.
Beliau yakin melalui pelaburan strategik dan tadbir urus kukuh, industri ini akan terus berkembang secara mampan dan memberi manfaat bukan sahaja kepada rakyat Malaysia, tetapi juga di peringkat global.