4 rumah musnah terbakar di Semporna

SEMPORNA – Empat rumah tidak kekal di Kampung Pekan 2 di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 6.30 petang, di sini semalam.

Dua rumah dilaporkan musnah sepenuhnya, manakala dua lagi mengalami kerosakan antara 10 hingga 20 peratus.

Pengganti Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Norhaini Jumdani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.46 petang sebelum sepasukan 10 anggota dari BBP Semporna dan BBP Air Semporna digerakkan ke lokasi.

“Pasukan tiba lima minit kemudian dan mendapati kebakaran membabitkan empat rumah jenis tidak kekal.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran 300 kaki satu pancutan secara offensive dengan sumber air daripada jentera,” katanya dalam kenyataan pada Isnin malam.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 7.20 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya jam 8.12 malam.

Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan terbabit, sementara punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengawal keadaan di lokasi.