24 Warga Filipina Ditahan, Termasuk Bayi Enam Bulan

LABUAN – Seramai 24 warga Filipina termasuk seorang bayi berusia enam bulan ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan Op Sapu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Labuan, awal pagi Jumaat.

Pengarah JIM Labuan, Raymond Entalai berkata, operasi bermula sekitar jam 1 pagi itu melibatkan sepasukan pegawai diketuai KTPP Fatrick James selepas risikan selama empat hari terhadap dua penempatan warga asing.

“Sebanyak 71 individu diperiksa, terdiri daripada 39 warga asing dan 32 rakyat tempatan. Daripada jumlah itu, 24 warga Filipina berusia antara enam bulan hingga 40 tahun ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Penguatkuasa JIM Labuan untuk dokumentasi dan siasatan lanjut.

Raymond menegaskan, pihaknya akan terus menjalankan operasi secara berterusan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri itu.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau majikan yang didapati bersubahat dengan menggaji atau melindungi PATI,” katanya.