TAWAU: Hasrat menyediakan rumah untuk generasi kedua Felda semakin hampir menjadi kenyataan apabila sebuah syarikat pemaju tampil menawarkan dana sendiri bagi melaksanakan projek berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan A Gani Pg Amir berkata, meskipun isu perumahan generasi kedua masih belum mendapat tindakan konkrit, pihak pemaju sudahpun mengadakan perbincangan lanjut dengan Felda.

“Tapak projek telah dikenal pasti dan bakal diumumkan tidak lama lagi. Buat masa ini, pemaju masih menunggu surat kebenaran permulaan untuk memulakan pembinaan rumah generasi kedua.
“Apa yang penting, projek ini akan membuka peluang kepada generasi kedua memiliki rumah sendiri. Ketika ini, rekabentuk rumah contoh sudah disediakan dan diyakini selesa untuk penghuninya nanti,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, seramai 776 peneroka Felda bersama generasi kedua terlibat dalam projek tersebut, namun pemaju yakin mampu menyiapkan sehingga 1,000 unit rumah dalam tempoh hanya 270 hari.

Katanya, reka bentuk rumah yang dicadangkan bukan sahaja selesa, malah sesuai untuk keperluan keluarga muda Felda di Tawau.
“Rumah contoh sedang dalam pembinaan dan akan menjadi rujukan sebelum projek penuh dilaksanakan,” jelasnya.
Hassan menegaskan, kejayaan projek ini memerlukan sokongan padu daripada generasi kedua serta komitmen kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan dan pihak Felda untuk memberi kelulusan segera.

“Harapan kita, projek ini bukan sahaja menyediakan kediaman yang selesa, malah menjadi simbol kemajuan dan kesinambungan Felda untuk masa depan,” katanya.