KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua tuduhan terhadap Ahmad Zahid yang juga pengasas yayasan terbabit.
Laporan Berita Harian memetik, Sequerah dalam penghakimannya berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas membuat penilaian maksimum terhadap bukti yang dikemukakan pendakwaan.
Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.