KUALA LUMPUR (Bernama): Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa persidangan parlimen perlu diadakan secepat mungkin dan kerajaan perlu bertindak tegas mempercepat proses vaksinasi agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus dicapai seawal mungkin.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka menzahirkan pandangan itu setelah memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari agensi-agensi kerajaan.
“Seri Paduka menzahirkan pandangan agar sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Pandangan itu dizahirkan Al-Sultan Abdullah selepas berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara hari ini.
SabahNewsToday