KOTA KINABALU: Parti Warisan bukan bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk membantu memberi kemenangan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Ahli Majlis Tertinggi Warisan (AMT), Azhar Matussin, berkata tujuan Warisan bertanding adalah memberi pilihan naratif yang baharu khususnya dengan keadaan landskap politik yang sangat dinamik pada masa ini.
Katanya, pada ketika ini rakyat Malaysia sangat kecewa terhadap kerajaan Barisan Nasional, Perikatan Nasional, mahupun kerajaan Pakatan Harapan.
“Sebelum ini Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal sudah memberi penjelasan secara terperinci berkaitan langkah bertanding di PRN Johor adalah memberikan pilihan kepada rakyat, bukannya untuk mengelirukan ataupun memecahkan undi.
“Kita menyangkal dakwaan DAP bahawa penyertaan Parti Warisan dalam PRN Johor adalah untuk membantu UMNO atau Bersatu.
“Yang nyata Warisan tidak bersekongkol dengan UMNO, BERSATU dan PAS dan kita tidak pernah menandatangani MOU dengan mereka seperti yang dilakukan oleh DAP. Kita harus berlaku adil….Kita perlu memberikan pilihan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata dalam satu kenyataan media hari ini.
Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau, berkata sudah sampai masa serta ketikanya rakyat sepatutnya diberikan peluang untuk membuat pilihan yang lebih baik untuk masa depan mereka.
“Kita harus berlaku adil. Kita perlu memberikan pilihan kepada rakyat. Pilihan untuk memilih parti yang mendengar, yang memperjuangkan perpaduan dan boleh membuat perubahan demi kelangsungan kehidupan rakyat,” katanya.