SEMPORNA : Parti Warisan (WARISAN) masih meneliti senarai calon termasuk penyandang sedia ada sekali gus mengambil kira isu integriti, penerimaan rakyat serta potensi kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Hal ini meskipun WARISAN memaklumkan sudah menilai kesemua calon dan bersedia bertanding di 73 kerusi DUN dalam pilihan raya kali ini.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, walaupun dalam program berasingan semalam memberitahu sudah menilai kesemua calon berpotensi, namun, kebimbangan besar ketika ini adalah isu ‘jual beli’ calon yang menyebabkan beliau mengambil sedikit masa bertenang untuk menentukan nasib wakil rakyatnya jika terus kekal atau gugur daripada bertanding.
“Perkara ini kami belum putuskan lagi sesiapa calon yang akan kekal atau gugur sebab saya tahu akan ada gejala yang tidak baik (beli calon pilihan raya) dan saya akan suarakan di Parlimen tentang isu beli calon.
“Walau apa pun, calon yang kami kenal pasti mestilah boleh menang, masyarakat terima calon tersebut dan berkhidmat untuk rakyat. Maknanya, mereka tidak melompat parti walaupun saya faham akta berkaitan larangan wakil rakyat melompat parti sudah berkuatkuasa.
“Tetapi, sebagai pemimpin kami pastikan budaya ini tidak diamalkan kerana kepercayaan rakyat akan terhakis. Sebahagian besar anak-anak tidak percaya ahli politik. Jadi, perlu susun atur sebelum pilihan raya, pilihlah pemimpin yang sebaik mungkin yang boleh menang, ada kebolehan dan keupayaan kepada pengundi,” kata Ahli Parlimen Semporna itu.
Beliau juga ADUN Senallang berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Semarak Kecemerlangan STPM Tahun 2024 dan Sumbangan Prihatin Smart-TV Sekolah Rendah Peringkat Daerah Semporna anjuran Parlimen Semporna di kediamannya di sini hari ini.
Turut hadir dalam program itu, ADUN Bugaya, Jamil Hamzah; ADUN Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong; ADUN Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin; Focal Person Daerah Semporna, Hatta Lisani dan Pegawai Pendidikan Daerah Semporna, Rozita Anjuh.
Bagaimanapun, sumber memberitahu Sabah News Today yang kesemua penyandang kerusi DUN WARISAN akan kekal bertanding di kerusi sedia ada, namun, keadaan itu sukar dijangka kerana boleh berubah pada bila-bila masa.
Semalam, Warisan (WARISAN) mengesahkan bertanding keseluruhan 73 kerusi DUN dalam PRN.
WARISAN membuat keputusan tersebut dalam keadaan parti itu sebelum ini menetapkan bertanding secara solo tanpa bekerjasama dengan parti politik lain, sekali gus menyaksikan persaingan sengit melawan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (PN) serta beberapa parti politik tempatan.
Dalam pada itu, ditanya jika WARISAN masih berpegang kepada usaha membentuk kerjasama blok Borneo ketika parti itu akan berhadapan dengan beberapa gabungan politik lebih besar dalam PRNw kali ini, kata Mohd Shafie, kali ini, beliau mahu bekerjasama dengan rakyat Sabah.
“Kami tidak ada blok (block Borneo), yang penting ialah blok rakyat dan WARISAN akan bekerjasama dengan rakyat Sabah untuk pilih siapa pemimpin untuk memimpin mereka,” katanya.
