KOTA KINABALU – Seorang wanita dikesan menjalankan kegiatan licik dengan menawarkan pakej mendaki Gunung Kinabalu di media sosial sebelum melarikan wang pelanggan selepas menerima bayaran penuh.
Taktik penipuan itu terbongkar selepas tiga kes dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara Januari hingga November tahun ini dengan jumlah kerugian keseluruhan mencecah RM65,010.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, suspek menyamar sebagai ejen sah dan menawarkan pakej mendaki pada harga menarik untuk menarik minat orang ramai.
“Selepas pelanggan membuat tempahan serta bayaran penuh, suspek tidak menguruskan sebarang pendaftaran dengan pihak Taman-Taman Sabah seperti dijanjikan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, mangsa hanya menyedari ditipu apabila tiba tarikh pendakian dan mendapati nama mereka tiada dalam senarai pendaki rasmi yang disahkan oleh Taman-Taman Sabah.
“Hasil siasatan membawa kepada penahanan seorang wanita tempatan yang bertindak sebagai ejen pendakian. Suspek kini sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Kasim menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pakej pendakian dalam talian yang menawarkan harga terlalu murah atau proses tempahan segera.
“Orang awam disaran membuat semakan dan berurusan hanya dengan ejen pelancongan berdaftar atau terus dengan pihak Taman-Taman Sabah bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya.
