Vaksin remaja bawah 17 tahun dibuat serentak pembukaan sekolah

PUTRAJAYA: Pemberian vaksin kepada remaja berusia 12 tahun hingga 17 tahun akan dilakukan serentak dengan pembukaan sesi persekolahan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Timbalan Menterinya, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dilantik untuk memikul tugasan sebagai penyelaras program vaksinasi kepada remaja.

“Kita sudah bentangkan perancangan vaksinasi kepada remaja ini semasa sesi mesyuarat dengan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin tengah hari tadi.

“Apa yang kita setuju adalah, serentak dengan proses pembukaan sekolah, kita akan pergiatkan proses pemberian vaksin kepada remaja. Sama ada ia dapat diselesaikan sebelum pengumuman pembukaan sekolah atau tidak, namun jika tidak sempat kita akan tetap meneruskan proses itu.

“Pelbagai kaedah pemberian vaksin dibentangkan dan paling mudah kita berpendapat pelajar ini akan diberikan suntikan vaksin di sekolah,” katanya pada sidang media, laporan Berita Harian hari ini.