Usno boleh jadi pemangkin perubahan besar di Sabah – Pandikar

KOTA KINABALU: Beberapa tahun ini, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) yang pernah berkuasa dahulu, cuba mencari jalan kembali ke arus perdana politik Sabah tanpa banyak kejayaan.

Isnin lalu, keadaan itu berubah apabila Usno secara rasmi menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS), gabungan yang mentadbir negeri kedua terbesar di Malaysia itu.

Penyertaan Usno dalam GRS bagaimanapun membingungkan.

Ini kerana, sudah ada parti didominasi Bumiputera Islam dalam GRS, iaitu Bersatu. Kemasukan Usno menimbulkan persoalan apa yang boleh disumbangkan ahli paling kecil dalam gabungan itu.

“Ia adalah wadah untuk menyatukan Bumiputera Islam Sabah di bawah sebuah parti. Dan kini tiba masanya,” kata seorang veteran Umno Sabah kepada FMT.

Pemimpin itu, yang enggan dinamakan berkata, Usno sudah menghubungi pemimpin Umno untuk menarik mereka menyertainya.

Veteran Umno itu berkata, parti yang diketuai bekas speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia itu boleh menjadi rumah baharu buat pemimpin Bersatu Sabah memandangkan Bersatu seakan-akan mati di Sabah, khasnya apabila Muhyiddin Yassin bukan lagi perdana menteri.

Katanya, ramai ahli Bersatu dan Umno Sabah melihat kemungkinan Usno bangkit menjadi seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, parti dominan di Sarawak, dan seterusnya membebaskan Sabah daripada kawalan politik Semenanjung.

“Ini akan menjadi perubahan besar. Ini patut menjadi matlamat. Tetapi, untuk memastikan ia berjaya, menarik semua orang menyertai Usno adalah cabaran sebenarnya, khasnya pemimpin Umno.

“Ramai daripada kami masih mempunyai sokongan akar umbi, jadi bagaimana mereka hendak menerimanya jika kami ‘pindah rumah’ (sertai Usno)? Ini perlu difikirkan Usno.”