UPKO umum keluar Pakatan Harapan, tekad perjuang agenda ‘Sabah First’

KOTA KINABALU – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) berkuat kuasa serta-merta, selepas menilai semula hala tuju perjuangan parti berkenaan.

Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson W. Angang berkata, keputusan itu dicapai sebulat suara dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO, yang membincangkan hala tuju baharu berteraskan agenda ‘Sabah First’.

“Keputusan ini akan dimaklumkan secara rasmi kepada Pengerusi PH dan parti-parti komponennya. Kedua-dua Ahli Parlimen UPKO, Datuk Ewon Benedick dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, tetap akan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar kestabilan Kerajaan Persekutuan dikekalkan hingga akhir penggal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nelson berkata, mesyuarat turut menyokong keputusan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerana tidak bersetuju dengan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam prosiding semakan kehakiman hak 40 peratus hasil Sabah oleh Sabah Law Society.

Menurut beliau, sepanjang empat tahun bersama PH, UPKO konsisten memperjuangkan agenda ‘Sabah First’ dalam manifesto dan rundingan pentadbiran, namun terdapat perbezaan pandangan berhubung isu pelaksanaan hak hasil 40 peratus Sabah, tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak, serta isu autonomi pentadbiran PH Sabah.

“UPKO menilai semula dan menyimpulkan bahawa hanya parti-parti tempatan Sabah benar-benar memahami denyut nadi serta aspirasi rakyat Sabah berdasarkan semangat dan pelaksanaan sebenar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Nelson menegaskan, UPKO kekal berpendirian bahawa hak hasil 40 peratus Sabah mesti dilaksanakan sepenuhnya dan bersedia bekerjasama dengan parti-parti tempatan lain yang komited memperjuangkan agenda ‘Sabah First’ demi masa depan negeri itu.