UMS Sedia Bantu Crisnanalina Jumis Urus Pendaftaran Ke Universiti – Kasim

KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil maklum terhadap sebuah laporan akhbar tempatan berkaitan kesukaran Crisnanalina Jumis, 20, berasal dari Kg. Dalamas, Paitan, Sabah menghadapi kesukaran untuk membayar yuran pendaftaran ke UMS.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, beliau mengarahkan Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS untuk berhubung dengan pelajar tersebut bagi memudahkan urusan pendaftaran kemasukan ke universiti.

Katanya, UMS prihatin terhadap isu kesukaran dari segi kewangan yang dialami Crisnanalina, justeru UMS memastikan beliau akan menerima bantuan secukupnya apabila mendaftar ke universiti ini nanti.

“Pihak Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar juga akan memastikan bantuan terhadap keperluan beliau apabila berada di kampus.

“Selain itu, UMS akan membantu pelajar berkenaan membuat permohonan bantuan kewangan yang berkaitan bagi membantu memudahkan segala urusannya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 Kasim berkata, Crisnanalina mahupun mana-mana pelajar baharu UMS tidak perlu khuatir tentang pembayaran yuran pendaftaran universiti.

“Pihak universiti melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk kemudahan penangguhan yuran pendaftaran universiti bagi memastikan pelajar dapat menyelesaikan urusan pendaftaran tanpa perlu bimbang berkenaan masalah kewangan.

“Selain itu, pihak universiti juga turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan yang boleh dimohon oleh pelajar khususnya yang kurang berkemampuan seperti bantuan kewangan (MyCare), bakul makanan dan sumbangan zakat,” jelas Kasim.

Menurutnya, Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar khususnya juga bersedia membantu pelajar untuk membuat permohonan bantuan kewangan pendidikan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Selain itu kita akan membantu pelajar ini membuat permohonan biasiswa seperti Biasiswa Kerajaan Negeri, Yayasan Sabah, Biasiswa MARA, dan sebagainya.

“Inisiatif dilaksanakan adalah usaha UMS dalam mengutamakan kebajikan pelajar agar dapat melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi walaupun daripada pelbagai latar belakang ekonomi,” kata Kasim.