UMS perlu tumpu lahirkan tenaga kerja mahir – Hajiji

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) perlu memberi tumpuan terhadap persekitaran pendidikan tinggi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir untuk negara dan antarabangsa.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata perkara itu selaras dengan tumpuan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang menggariskan pembangunan bakat masa hadapan yang dapat memenuhi standard tenaga kerja diperlukan pasaran kerja, terutama oleh sektor industri.

Beliau berkata, atas sebab itu, pihak institusi pengajian tinggi digalakkan untuk memperkukuh kerjasama dengan pemain industri dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi.

“Kerajaan negeri mengamalkan pendekatan mesra pelabur, jadi kita amat memerlukan graduan yang berpengetahuan dan berkemahiran untuk memenuhi permintaan pihak industri di Sabah.

“Sehubungan itu, saya berharap agar UMS dapat menjadi universiti yang mampu mengeluarkan graduan yang diperlukan sektor industri,” katanya pada Majlis Ikrar dan Aku Janji pelajar baharu UMS sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2023 / 2024 Kali Ke-29 di UMS Kampus Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan negeri juga terus komited dan sentiasa memberi kerjasama kepada UMS dalam membantu usaha ke arah kemajuan dan peningkatan tahap pendidikan tinggi negara.

Katanya, ia selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi penekanan kepada sektor perindustrian, pertanian dan pelancongan sebagai teras utama dalam memulihkan semula ekonomi, termasuk pembangunan modal insan.

Pada masa yang sama, katanya, kerajaan negeri sentiasa komited untuk memperkasa pembangunan pendidikan dan infrastrukturnya dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti.

“Ini kerana dengan pendidikan yang baik, ia berupaya mengubah kualiti hidup rakyat yang akhirnya menyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan negara khususnya di Sabah.

“Kita tidak mahu ada yang terpinggir daripada menerima pendidikan di negeri ini. Justeru, kerajaan negeri mengambil pelbagai inisiatif dalam membantu anak Sabah melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Hajiji yang juga Pro Canselor UMS, berkata beliau mahu melihat UMS sentiasa dekat dihati masyarakat melalui inisiatif universiti untuk masyarakat yang dirangka bagi menggalakkan pemindahan ilmu berasaskan kesarjanaan yang dijana di universiti awam kepada komuniti untuk kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

“Sejak kewujudannya, UMS membantu menjana transformasi pembangunan di negeri ini dan kini menjadi salah sebuah universiti terkemuka di negara ini yang sentiasa menjadi pusat rujukan terutamanya di Sabah,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Prof Datuk Dr Kasim Mansur kerana dilantik semula sebagai Naib Canselor UMS.

Katanya Dr Kasim adalah anak tempatan yang berpengalaman, lama berkhidmat dengan UMS dan antara antara ahli akademik asal Sabah yang terkenal di negara ini.