UMNO Sabah alu-alukan pemimpn BERSATU kembali – Jafry

KOTA KINABALU: Pemimpin Bersatu Sabah dilihat mempunyai masa depan lebih cerah dalam politik jika pulang ke pangkuan Umno.

Setiausaha Umno Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata langkah itu lebih baik daripada mewujudkan parti baharu dengan merujuk kegagalan Bersatu dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor yang menyaksikan mereka gagal bersaing dengan parti yang ada.

“Umno Sabah mengalu-alukan sekiranya langkah itu difikirkan. Ia bagus untuk mereka punya ‘political survivor’…ia juga bagai sirih pulang ke gagang,” katanya kepada FMT.

Jafry mengulas pandangan penganalisis bahawa kepulangan pemimpin Bersatu Sabah ke pangkuan Umno adalah langkah penting bagi masa depan parti itu.

Malah, penganalisis melihat keadaan sudah berubah secara drastik. Ketika Bersatu Sabah berkuasa, Muhyiddin Yassin adalah perdana menteri dan parti itu dilihat sangat lemah ketika ini.

Susulan kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya umum 2018 (PRU14), beberapa ahli Parlimen dan ADUN Umno Sabah meninggalkan parti itu dan menyertai Bersatu.

Ini termasuk ADUN Sulaman Datuk Hajiji Noor yang kini ketua menteri dan Datuk Seri Ronald Kiandee, menteri pertanian dan industri makanan persekutuan.

Pada Perhimpunan Agung Umno lalu, beberapa perwakilan termasuk Ketua Puteri Zahida Zarik Khan dengan tegas tidak mahu menerima ‘katak politik’ menyertai Umno semula.

Ditanya perkara itu, Jafry berkata jika pemimpin Bersatu kembali kepada Umno sudah tentu ada syarat perlu dipersetujui.

“Umno merupakan organisasi berstruktur yang ada perlembagaan dan peraturan, dan kita ada badan tertentu memutuskannya tapi secara ‘general’, kita mengalu-alukan mereka datang, kerana mereka sebahagian pemimpin yang tinggalkan parti,” katanya.