Umno perkukuh kerjasama dengan komponen PH, kata Asyraf

KUALA LUMPUR: Umno akan memperkukuh dan memperkasakan hubungan kerjasama dengan rakan parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) di semua peringkat, kata Setiausaha Agung Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, langkah itu diambil bagi memastikan kestabilan politik negara dan kemakmuran rakyat melalui kerajaan perpaduan sebagaimana ketetapan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 23 Nov 2022 dan diabsahkan di Perhimpunan Agung Umno 10 Jun lalu.

Asyraf berkata, Umno juga akan membuat penambahbaikan dan pemerkasaan berpandukan dapatan bedah siasat keputusan PRN enam negeri lalu.

“Ia telah pun diperincikan dan diperoleh daripada bahagian Umno seluruh Malaysia termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat MKT dipengerusikan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Asyraf berkata, Umno juga akan mengadakan konvensyen bahagian yang akan memfokuskan aspek pengukuhan organisasi parti dan “membumikan” kefahaman ahli di peringkat akar umbi.

“…mengenai ketetapan-ketetapan dasar parti yang menyentuh soal prinsip dan hala tuju perjuangan parti dalam kerajaan perpaduan,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada Umno membincangkan akan mengambil tindakan terhadap individu tertentu termasuk Ahli MKT Isham Jalil yang mengkritik parti secara terbuka, Asyraf berkata isu tersebut tidak disentuh dalam mesyuarat hari ini.

Terdahulu, Isham berkata Zahid boleh memecatnya, jika itu “harga harus dibayar” kerana menegur Umno termasuk kerjasama dengan PH khususnya DAP.