KOTA KINABALU: Kepimpinan baharu UMNO Bahagian Beluran mampu memulihkan imej serta maruah parti sekali gus bangkit berjuang memperkasakan parti.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Bahagian Beluran sebelum ini merupakan wilayah UMNO namun tercalar atas sikap pemimpin yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi dari kepentingan parti apabila melakukan lompatan menyertai parti lain.
“Kita hormati keputusan mereka, meskipun ia bukan keputusan akar umbi, biar pelbagai ujian mendatang, semangat perjuangan kita takkan pudar.
“Membujur lalu melintang patah. Patah paruh bertongkat dagu namun daki tetap didaki bersama,” katanya di sini hari ini.
Bung Moktar berkata, UMNO bahagian Beluran baharu sahaja selesai mengadakan pemilihan jawatankuasa UMNO bahagian minggu lalu.
Ini setelah ditangguhkan disebabkan beberapa masalah teknikal selepas pemilihan lalu perlu di adakan semula.
“Adat pertandingan yang menang tidak menang semua begitu juga yang kalah bukannya kalah.
“Apa yang pasti selepas pemilihan parti kembalilah bersatu atas konsep perjuangan demi menjaga institusi parti agar terus cemerlang bagi memberikan khidmat terbaik untuk rakyat dan ahli” katanya.
Menurut Bung parti keramat ini memerlukan nafas dan semangat baharu bagi mengembalikan perjuangan yang ampuh.
Justeru Bung berharap UMNO Bahagian Beluran akan dapat berkerja dalam satu pasukan yang mantap.
“Menyusun gerak kerja mendekati ahli dan rakyat di akar umbi bagi mempastikan UMNO tetap menjadi pilihan rakyat dan kawasan yang pernah di wakili UMNO itu akan kembali semula ke tangan UMNO khususnya dalam menghadapi PRN akan datang,” katanya.