TYT Iftar Bersama Warga UMS

KOTA KINABALU: Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Datuk Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R. M. Jasni meluangkan masa berbuka puasa bersama kakitangan dan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Majlis Iftar Perdana @UMS yang diadakan di Pusat Islam UMS malam tadi.

Pada majlis itu, Juhar yang juga merupakan Canselor UMS bersama-sama Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor menyaksikan penyampaian sumbangan zakat berjumlah RM34,500.00 oleh Bahagian Zakat dan Fitrah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) kepada UMS.

Sumbangan zakat tersebut disampaikan oleh Penolong Setiausaha Kanan, Agihan Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS, Ustaz Saffruddin Manshuruddin kepada Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Juhar turut menyaksikan acara penyerahan zakat wakalah Bank Islam Berhad berjumlah RM40,000.00 kepada UMS yang disampaikan oleh Pengarah Bank Islam Negeri Sabah, Nona Baria Sarudin.

Beliau kemudiannya menyampaikan sumbangan agihan zakat kepada wakil pelajar dan wakil kakitangan UMS yang layak.

Sejumlah 1,198 pelajar dan 24 orang kakitangan UMS layak menerima agihan zakat tersebut, dengan bantuan zakat pelajar daripada golongan asnaf merangkumi bantuan sara diri, yuran pengajian, yuran asrama, dan bantuan untuk menjalani latihan industri.

Hadirin pada majlis tersebut kemudian mendengar sesi tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Ustaz Datuk Abdul Manap Lakaribah, sebelum berbuka puasa selepas berkumandangnya azan tepat jam 6.26 petang.

Juhar kemudian menunaikan Solat Maghrib, Isyak dan Solat Sunat Tarawih di Masjid UMS bersama kira-kira 300 kakitangan dan pelajar UMS.