KIULU – Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai menegaskan keputusan Kerajaan Persekutuan terhadap tuntutan 40 peratus hasil Sabah akan menjadi ujian sebenar sama ada mereka benar-benar memahami harapan rakyat negeri ini.
Beliau berkata, dengan hanya beberapa hari sebelum kerajaan pusat memutuskan sama ada mahu memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.
“Hubungan baik antara Kerajaan Negeri yang diterajui GRS dan Putrajaya diharap mampu membuka jalan kepada keputusan yang adil serta menguntungkan Sabah.
“Isu ini bukan sekadar soal politik yang memerlukan kemahuan politik, tetapi soal menghormati dan menunaikan hak Sabah yang telah termaktub dalam Perlembagaan,” katanya di Kiulu, hari ini.
Menurutnya, rakyat Sabah tidak akan menerima dengan baik sekiranya Kerajaan Persekutuan memilih untuk merayu keputusan mahkamah itu, sebaliknya mereka menuntut tindakan berani dan komitmen tulen bagi menegakkan hak negeri ini.
“Rakyat sudah menunggu terlalu lama. Mereka tidak mahu lagi alasan atau penangguhan, tetapi pelaksanaan sebenar,” tegasnya.
Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan Kerajaan Persekutuan mesti menyemak semula tuntutan 40 peratus hasil Sabah bersama Kerajaan Negeri dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan baharu dalam masa 180 hari
Ia sekali gus mengesahkan hak perlembagaan negeri di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
